loading...

Kad Kredit Boleh Membantu Kewangan Rumah?


Bagi anda yang baru bekerja terutamanya golongan muda, kebiasaannya mudah terpengaruh dengan kad kredit. Kerana di usia seperti ini kehendak pasti mengatasi keperluan. Dari telefon bimbit yang mahal, aksesori, sehinggalah barangan peribadi semuanya ingin nampak ‘kelas’ dan hebat! Begitu juga bagi pasangan yang akan atau sudah berkahwin pula, kad kredit begitu sinonim dengan kehidupan. Mana tidaknya, anda dan pasangan perlu membeli itu dan ini untuk keperluan rumah, hantaran dan sebagainya. Duit yang ada tidak mencukupi.

Sudahnya, kad kredit menjadi jalan penyelesaian. Sebelum anda mendaftar sebagai pemilik kad kredit, cuba berfikir dan pertimbangkan adakah anda memerlukan kad kredit tersebut? Adakah anda mampu mendisiplinkan diri dengan penggunaannya? Mampukah anda mengawal nafsu dalam mendapatkan apa yang anda mahu hanya dengan sekeping kad itu?

Mari semak beberapa tip berguna sebelum anda mendaftar sebagai pemilik kad kredit atau bagi anda yang sudah memiliki kad kredit!

Kadar Bunga
Kadar bunga adalah perkara paling penting yang perlu diberikan perhatian. Jika anda tidak membayar bayaran penuh pada setiap bulan, utamakan pembayaran bunga daripada tawaran hadiah atau bonus. Apa yang perlu anda tahu, bayaran bunga adalah lebih penting dari sebarang bayaran bonus. Begitu juga sebaliknya. Pastikan anda mendapat bonus atau mata ganjaran sekiranya anda membuat bayaran penuh setiap bulan. Perlu anda ingat! Semak kiraan penyata setiap bulan dan pastikan tidak mempunyai bunga atau faedah sekiranya anda membuat bayaran penuh setiap bulan.

Bayar Melebihi Jumlah Minima
Sekiranya anda tidak mampu membuat bayaran penuh setiap bulan, pastikan pembayaran anda melebihi jumlah minimum yang telah ditetapkan oleh pihak bank. Jangan sesekali mengikut bayaran minima kerana tempoh bayaran anda pasti akan bertambah.



Elak Denda
Buat pembayaran tepat pada masanya untuk mengelakkan daripada didenda atau dikenakan penalti. Denda biasanya dikenakan sekiranya anda membuat pembayaran lewat mahupun melebihi jumlah kredit yang dibenarkan. Cara mudah untuk mengelakkan kelewatan pembayaran adalah dengan menggunakan debit secara terus dan membuat kira-kira sendiri supaya anda tidak berbelanja melebihi jumlah yang ditetapkan.

Caj Luar Negara
Sebelum anda memilih kad kredit, pastikan syarikat tersebut tidak mengenakan sebarang caj tambahan seandainya anda menggunakan kad kredit di luar negara. Kebiasaannya ada yang mengenakan caj sehingga tiga peratus namun ada juga yang tidak bergantung kepada syarikat pengeluar kad kredit.

Elak Meminta Wang Tunai
Ramai yang menggunakan kad kredit untuk mendapatkan wang tunai atau ‘cash advance’. Mungkin ia kedengaran mudah, tapi harus diingat kerana jumlah wang yang perlu dibayar semula tidak berbaloi kerana terdapat bunga yang lebih tinggi dikenakan.

Program Kesetiaan
Bagi pemegang kad kredit pastinya anda biasa mendengar tentang tawaran ‘loyalty program’. Kebanyakan syarikat tidak menawarkan ‘loyalty program’ kerana tawaran hebat biasanya ditawarkan kepada pengguna baru saja demi menarik minat mereka. Jadi anda tidak perlu setia menggunakan kad kredit anda.


Kredit kepada penulis asal Ros Nana, Pesona Pengantin Karangkraf.

Ads:
loading...

Thanks for your comment