Shah Alam: Tiga tahun lalu, lelaki ini pernah menggemparkan negara kerana didakwa berkahwin 11 kali kononnya dengan alasan mencari isteri terbaik, kali ini lelaki kasanova ini buat hal lagi dengan menjadikan orang perseorangan dan beberapa masjid di sekitar Selangor sebagai sasaran untuk mengutip derma sejak lebih setahun lalu.
Tambah licik, lelaki berusia awal 30-an ini menggunakan beberapa anak tirinya untuk meraih simpati kononnya mereka adalah anak yatim.
Bagaimanapun, helah lelaki itu terbongkar selepas ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebaik selesai mengajar di sebuah surau di U10 di sini, malam kelmarin.
Sumber JAIS berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai kegiatan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai guru agama dan mengajar tanpa tauliah di sekitar negeri ini sejak awal bulan lalu.
Katanya, siasatan mendapati lelaki berkenaan pernah ‘kantoi’ di sebuah masjid lain dan kelibatnya dikesan jemaah yang mengikuti kuliahnya baru-baru ini.
“Kita dapati dia juga disyaki memungut derma di masjid tempat dia mengajar dan apa yang lebih mengecewakan, dia menggunakan beberapa anak tirinya yang menyamar sebagai anak yatim untuk meraih simpati.
“Siasatan awal mendapati anak yatim yang dimaksudkan ialah anak tirinya sendiri dan dia memberi alasan anak yatim terbabit perlukan bantuan untuk menyambung pelajaran. Kita tahan dia untuk siasatan kerana mengajar tanpa tauliah dan memungut derma tanpa kebenaran,” katanya kepada Metro Ahad semalam.
Sumber itu berkata, lelaki itu juga dipercayai cuba memperdaya orang ramai untuk mengutip derma dengan memperkenalkan diri sebagai duta sebuah maahad tahfiz di negeri ini.
Katanya, JAIS juga sedang menyiasat sama ada wang kutipan daripada orang ramai disalurkan kepada pihak lain kerana dia memberikan alasan untuk membangunkan pusat pengajian.
“Kita mahu sekat dia daripada terus memperdaya orang ramai menggunakan agama kerana ramai yang percaya dia seorang ustaz.
“JAIS akan terus siasat sebarang kemungkinan, namun setakat ini yang kita tahu dia menjalankan kegiatan ini bersendirian menggunakan kedudukannya sebagai guru agama,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim mengesahkan penahanan itu dan pihaknya memanggil lelaki berkenaan untuk memberi keterangan berhubung perkara itu.
“Tangkapan dilakukan atas kesalahan memberi ceramah tanpa tauliah dan saya berharap pengurusan masjid lebih berhati-hati untuk mengambil tenaga pengajar pada masa depan,” katanya.
Pada 26 Oktober 2012, akhbar ini pernah melaporkan lelaki terbabit didakwa berkahwin sebanyak 11 kali dengan alasan beliau mahu mencari seorang isteri yang terbaik.
Ketika itu, dia ditahan sepasukan anggota Unit Dasar, Penyelewengan dan Doktrinisasi JAIS di sebuah kedai makan di Bandar Tun Hussein Onn, Kajang selepas menerima aduan daripada sebahagian isterinya.
Lelaki yang digelar ‘kasanova’ itu juga pernah didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, di sini, 25 Oktober tahun sama atas dua tuduhan iaitu memalsukan dokumen untuk bernikah dan bernikah tanpa kebenaran mahkamah mengikut Seksyen 40(2) dan 38 Enakmen Keluarga Islam 2003.
Bagi meyakinkan pasangannya, beliau juga mendakwa bekerja sebagai imam dan pendakwah namun ada antara isterinya tidak memahami kerjayanya itu.
Sumber: hmetro
Ads:
loading...
Out Of Topic Show Konversi Kode Hide Konversi Kode Show Emoticon Hide Emoticon