Dengan rendah hati, kami daripada The Patriots nak membetulkan kenyataan daripada saudara bahawa nama Melayu atau Tanah Melayu itu adalah wujud dan diberikan oleh British atau seumpama dengannya.
Izinkan saya untuk menemplak kenyataan tidak berasas saudara Tai Zee Kin ini dalam membicarakan tentang asal usul nama Melayu.
Saya mengenali saudara Tai Zee Kin dan betapa saudara adalah penyokong aspirasi asimilasi bangsa bukan Melayu ke dalam bangsa Melayu. Tetapi, kita ialah manusia biasa dan tentunya banyak kelemahan-kelemahan kita dalam memberi ulasan tentang isu semasa.
Menurut Tai Zee Kin, beliau mengatakan bahawa nama Melayu hanyalah wujud pada 1800s untuk memberi terma kepada masyarakat di Nusantara dan menrut beliau, sebelum ini tidaklah wujud sebarang rekod mengenai nama Tanah Melayu itu sendiri. Ini sebenarnya adalah salah wahai saudara Tai Zee Kin kerana terdapat banyak rekod dalam sejarah yang mengatakan tentang kewujudan nama Melayu atau Tanah Melayu itu sendiri.
Antara rekod terawal yang mencatatkan mengenai nama MELAYU dalam sejarah itu sendiri adalah di dalam peta Ptolemy seawal abad pertama Masihi yang mencatatkan kawasan di Semenanjung Emas yang turut dikenali sebagai Maleu-kolon.
Selain itu, antara rekod terawal mengenai asal-usul nama Melayu ini ialah mengenai sebuah kerajaan Melayu yang dipercayai wujud sekurang-kurangnya sejak abad keempat hingga abad ketujuh Masihi di Sumatera yang dikenali sebagai Malayu sebelum kerajaan ini ditawan oleh kerajaan Srivijaya.
Selepas itu, dalam catatan-catatan Dinasti China seperti Yuan dan Ming, nama orang Melayu banyak kelihatan. Orang China biasanya akan merujuk kepada kerajaan Malayu yang dibina oleh bangsa Melayu dengan panggilan seperti Bok-la-yu, Mok-la-yu, Ma-li-yu-er, Oo-lai-yu, dan Oo-lai-yu berdasarkan pelat orang cina sendiri.
Tomé Pires yang tinggal di Melaka daripada tahun 1512 hingga tahun 1515 merujuknya sebagai Terra de Tana Malaio. Nama “tanah Melayu” juga terdapat dalam Hikayat Hang Tuah. Dalam hikayat tersebut apabila Hang Tuah dihalau keluar dari Melaka dan bersiap untuk merantau ke Inderapura, dia ditanya ke manakah dia akan pergi.
Pahlawan Melayu itu menjawab ke mana sahaja dibawa kakinya, dengan menambah “lamun pada tanah Melayu” merujuknya sebagai Terra de Tana Malaio.
Dalam Hikayat Hang Tuah juga yang lebih awal usianya daripada tarikh 1800 yang dibangkitkan oleh saudara, terdapat petikan di dalamnya yang menyebut dengan jelas tentang nama Melayu. Antaranya ketika peristiwa Hang Tuah vs Samurai Jepun.
"Maka titah Phra Chau, `Hai pendekar, engkau aku titahkan bermain pedang dengan utusan Melayu ini.`
Maka kata Jepun itu, `Berapa puloh orang Melayu itu? Jika sa-orang dua bukan lawan patek."
Bukan itu sahaja, dalam Sulalatus Salatin yang dikarang oleh Tun Sri Lanang pun, terdapat mukadimah yang menceritakan tentang tarikh Tun Sri Lanang menulis Sejarah Melayu ini adalah bukti seterusnya..
Perhatikan petikan daripada mukadimah itu:
"Yang Dipertuan di Hilir, Sultan Abdullah Ma'ayat Syah ibni Sultan 'ala Jalla Abdul Jalil Syah, diikuti dengan beberapa pujian dalam bahasa Arab dan pengertiannya dalam bahasa Melayu demikian bunyinya titah Yang Maha Mulia itu: "Bahawa beta Minta diperbuatkan hikayat pada Bendahara, peri persetua dan peri petuturan raja-raja Melayu dengan istiadatnya sekali; supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkannya oleh mereka itu; syahadan beroleh faedahlah ia daripadanya."
Daripada keterangan di atas dapat kita ketahui tarikh, tahun, bulan dan hari edisi Raffles MS. No. 18 menyebut hari Ahad sehingga ke saat dan ketikanya, titah Yang Diper-tuan di Hilir, Sultan Abdullah Ma'ayat Syah, disampaikan secara rasmi kepada Tun Seri Lanang. T.H. 1021, 12 Rabiul Awal, yang disebutkan itu ialah bersamaan dengan 13 Mei 1612. Ini menunjukkan ratusan tahun lebih awal daripada era 1800's yang diperkatakan oleh Tai Zee Kin.
Lebih awal daripada itu, Mpu Prapanca penyair Jawa di kraton Majapahit, dalam karyanya Desawarnama pada tahun 1365 telah menyenaraikan daerah yang dikenalpasti sebagai tanah orang Melayu iaitu Jambi, Palembang, Minangkabau, Siak, Kampar, Rokan, Pane, Kampe, Aru, Mandaileng, Tumiang, Perlak, Samudra, Lamuri, Barus di Sumatera dan Langkasuka, Kedah, Kelantan serta Pahang di Semenanjung Tanah Melayu
Selain itu, ketika Singghasari mahu mengerakkan ekpedisi menundukkan sisa-sisa kekuasaan Empayar Srivijaya, maka nama ekpedisi itu dipanggil sebagai Ekpedisi Pamalayu. Ini membuktikan bahawa nama Melayu itu sudah wujud sejak sekian lamanya.
Bahkan orang Khmer memanggil Srivijaya dengan panggilan Malayu.
http://www.thepatriots.my/khmer-memanggil-srivijaya-sebaga…/
Tentang terma MALAY RACE yang diperkatakan oleh saudara Tai Zee Kin, ianya bukanlah dimulakan oleh British sebaliknya saintis Jerman bernama Friedrich Blumenbach (1752–1840) untuk memberi gambaran pada rumpun Austronesia.
Terdapat beberapa peristiwa yang menjadi pengukur kepada idea gagasan bangsa Melayu ini dalam sejarah. Antaranya ialah Wenceslao Vinzons, menubuhkan organisasi Pan-Malayan Union atau Perhempoenan Orang Mellayoe pada tahun 1930-an dahulu untuk menggalakkan pengajian sejarah, tamadun dan kebudayaan bangsa Melayu dan memperkembangkan sentimen persatuan dalam kalangan bangsa-bangsa berkulit sawo matang.
Jose Rizal, sebagai antara pendiri semangat nasionalisme Filipina, dicatat pernah mengerakkan sebuah pergerakan yang berasaskan Melayu. Lalu, Jose Rizal pun mengumpulkan seluruh anak ‘Melayu’ dari Filipina, Dutch East Indies, Semenanjung dan Borneo di sebuah kota bernama Paris. Revolusi daripada Jose Rizal ini sebenarnya mahu membebaskan seluruh bangsa Melayu daripada belenggu penjajah dan menubuhkan sebuah negara berpaksikan tamadun Melayu.
Ketika Raja Kalakaua dari Hawaii bertemu dengan Raja Chulalongkorn dari Thailand pada lewat bulan March tahun 1881, raja Hawaii ni dengan bangganya mengatakan bahawa sesungguhnya kami orang polinesia ini adadarah MELAYU! Maka jawab raja Thailand itu, kami orang Thailand pun ada darah Melayu juga!
Kemudian, ketika Raja Kalakaua sampai ke Johor dan bertemu dengan Maharaja Abu Bakar, mereka saling membahaskan diri mereka berdua sebagai adik beradik Melayu yang hilang. Dan sempat juga Maharaja Abu Bakar menghadiahkan senaskah Al-Quran kepada Raja Kalakaua. Pada tahun 1879 Parlimen Hawaii di Honolulu telah membincangkan kemungkinan penyatuan Dunia Melayu-Polinesia yang luas.
Jadi selepas ini, kami berharap agar saudara tidak mengeluarkan kenyataan yang agak salah daripada ilmu sejarah itu sendiri dalam kita membicarakan tentang sejarah dan asal usul nama Melayu. smile emoticon
-HE-
Artikel ini asalnya dikongsi di laman sosial Facebook, The Patriots. Kredit kepada admin page sebagai penulis asal artikel. Sama-sama kita ambil manfaat.
Ads:
loading...
1 comments :
Click here for commentsArtikel yang baik untuk rujukan ....
Out Of Topic Show Konversi Kode Hide Konversi Kode Show Emoticon Hide Emoticon